Pendahuluan
Ketika mempelajari sejarah awal tamadun-tamadun dunia seperti Mesopotamia, Mesir, Indus dan China, kita akan menemukan beberapa corak yang hampir sama dalam proses perkembangan tamadun-tamadun tersebut. Kebanyakannya muncul di sekitar lembah sungai yang subur, mempunyai sistem pemerintahan yang tersusun, kegiatan ekonomi yang berkembang serta kemampuan menghasilkan ilmu, teknologi dan kebudayaan. Sungai bukan sahaja berperanan dalam membekalkan air untuk pertanian, malah menjadi laluan perdagangan, pengangkutan dan perhubungan antara masyarakat. Dari sudut sejarah, unsur-unsur tersebut menjadi perbahasan teras dan berperanan penting dalam membentuk sesebuah peradaban. Namun, di sisi yang lain, peradaban manusia tidak dapat dinilai melalui pencapaian kebendaan sahaja. Kemajuan fizikal tanpa kekuatan moral boleh menghasilkan sebuah masyarakat yang kelihatan hebat dari luar, tetapi rapuh dari dalam. Bangunan mungkin tinggi, teknologi mungkin canggih dan ekonomi mungkin berkembang, tetapi manusia masih boleh hidup dalam ketakutan, ketidakadilan, penindasan dan kehilangan tujuan.
Peradaban dan Kemodenan
Seiring dengan masa, masyarakat semakin cenderung menilai kemajuan melalui perkara yang mudah dilihat oleh mata. Sesebuah negara dianggap moden apabila mempunyai bangunan pencakar langit, lapangan terbang yang besar, rangkaian pengangkutan yang pantas, bandar pintar mahupun teknologi digital yang terkini. Malah, kemajuan sering diukur melalui jumlah pelaburan, kadar pertumbuhan ekonomi, penggunaan kecerdasan buatan atau kemampuan membina projek-projek mega. Secara asasnya, ukuran tersebut tidak salah, akan tetapi ia belum mencukupi untuk menggambarkan kemajuan sesebuah peradaban. Bangunan yang tinggi tidak semestinya melahirkan manusia yang tinggi akhlaknya. Teknologi yang canggih tidak dengan sendirinya menjadikan masyarakat lebih adil. Kekayaan negara juga tidak membawa banyak makna jika hanya dinikmati oleh kelompok tertentu, sedangkan sebahagian masyarakat terus hidup dalam kemiskinan dan tekanan.
Dari satu sisi, perlu difahami bahawa Islam tidak pernah menolak kemajuan fizikal. Malah Islamlah yang menggalakkan manusia untuk berusaha, mencipta, membina dan memakmurkan bumi sesuai dengan firman Allah SWT “Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di bumi...(Surah al-Fatir: 39).” Kemahiran, teknologi, kekuatan ekonomi dan pembangunan bandar merupakan sebahagian daripada keperluan dalam kehidupan manusia. Namun, semua pencapaian itu perlu berdiri di atas asas yang lebih kukuh iaitu keimanan, ilmu, akhlak, amanah dan keadilan.
Peradaban dan Ilmu
Malah aspek dalaman inilah yang menjadi jiwa di sebalik pembinaan peradaban. Tanpa jiwa tersebut, kemajuan hanya menghasilkan bentuk yang mengagumkan tetapi kosong daripada tujuan kemanusiaan. Oleh itu, ukuran kemajuan dalam Islam bukan hanya sejauh mana manusia mampu menguasai alam, tetapi juga sejauh mana manusia mampu menguasai hawa nafsunya. Kemajuan bukan sekadar kemampuan mencipta teknologi, tetapi kebijaksanaan menentukan bagaimana teknologi itu digunakan. Kemajuan juga bukan sekadar memiliki kekuasaan, tetapi kesediaan menggunakan kekuasaan sebagai amanah.
Sejak awal penurunan al-Quran, kisah mengenai umat dan peradaban terdahulu tidak pernah dipisahkan daripada pengutusan para nabi yang membawa risalah tauhid. Kisah kaum Nabi Nuh, kaum ‘Ad, kaum Thamud, penduduk Madyan dan pemerintahan Firaun yang diceritakan di dalam al-Quran tidak hanya sekadar catatan sejarah tentang masyarakat masa lampau. Kisah-kisah tersebut berfungsi membawa pengajaran tentang hubungan antara keimanan, moral dan kelangsungan sesebuah peradaban.
Peradaban Tauhidik dan Transitif
Di tengah-tengah setiap masyarakat itu, Allah SWT mengutuskan nabi yang menyeru manusia agar kembali beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa. Para nabi bukan sahaja mengajarkan ibadah, tetapi turut menentang kezaliman, penipuan, kesombongan dan penyalahgunaan kuasa. Hal ini menunjukkan bagaimana ajaran tauhid mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan masyarakat. Pengakuan terhadap keesaan Allah SWT bererti menolak segala bentuk penghambaan manusia kepada kekuasaan, kekayaan dan hawa nafsu. Kaum ‘Ad, misalnya, digambarkan sebagai masyarakat yang memiliki kekuatan dan kemampuan membina bangunan yang mengagumkan. Kaum Thamud pula terkenal dengan kemahiran memahat tempat tinggal pada gunung-ganang. Firaun memiliki kekuasaan politik, tentera dan sistem pemerintahan yang kuat. Namun, pencapaian fizikal tersebut tidak mampu menyelamatkan mereka apabila kekuatan digunakan untuk berlaku sombong, menindas manusia dan menolak kebenaran.
Kisah-kisah ini memperlihatkan bahawa kecanggihan fizikal bukan jaminan kelangsungan sesebuah peradaban. Sebuah masyarakat mungkin kelihatan maju, tetapi sebenarnya sedang menuju kemerosotan jika asas moralnya telah rosak. Keruntuhan peradaban tidak semestinya bermula apabila bangunan runtuh atau ekonomi merosot. Ia mungkin bermula lebih awal, iaitu apabila penipuan dianggap biasa, kezaliman dibiarkan, ilmu tidak dihargai dan kekuasaan tidak lagi dipertanggungjawabkan. Tema jatuh bangun peradaban dalam al-Quran mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan keimanan. Namun, keimanan yang dimaksudkan bukan sekadar pengakuan pada lidah. Keimanan perlu melahirkan amal soleh, keadilan, amanah dan rasa tanggungjawab. Apabila iman tidak mengubah tingkah laku manusia, ia mudah menjadi slogan yang tidak memberikan kesan kepada kehidupan. Sebaliknya, apabila iman diterjemahkan ke dalam kehidupan dan digandingkan dengan faham transitif, ia menjadi kekuatan yang membentuk manusia, memperbaiki masyarakat dan mengarahkan kemajuan kepada tujuan yang benar.
Dalam hal ini, Islam boleh difahami sebagai agama yang bersifat transitif. Keimanan tidak sepatutnya berhenti dalam diri seseorang, tetapi perlu bergerak keluar dan memberi manfaat kepada masyarakat. Iman perlu melahirkan ilmu, ilmu perlu menghasilkan amal, manakala amal perlu membentuk institusi yang baik. Apabila rangkaian ini berlaku secara berterusan, lahirlah sebuah peradaban. Islam mengajak kita bertanya bukan sahaja tentang perkara yang dipercayai, tetapi juga tentang perubahan yang lahir daripada kepercayaan itu. Apakah keimanan menjadikan seseorang lebih jujur? Apakah ibadah menjadikannya lebih bertanggungjawab? Apakah ilmu yang dipelajari digunakan untuk menyelesaikan masalah manusia? Apakah kekuasaan yang dimiliki digunakan untuk membela golongan lemah atau sekadar menjaga kepentingan sendiri?
Peradaban Islam Membina Manusia
Pembinaan peradaban dalam Islam bermula dengan pembinaan manusia. Manusia yang baik tidak lahir melalui pembangunan fizikal semata-mata. Mereka perlu dibentuk melalui pendidikan, ilmu, akhlak dan pengalaman hidup yang menumbuhkan kesedaran tentang tanggungjawab. Tambahan pula, wahyu pertama yang diterima oleh Baginda Nabi Muhammad SAW dimulakan dengan perintah membaca. Hal ini memberikan gambaran mengenai kedudukan ilmu yang merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat Islam. Malah, dorongan agama ini jugalah yang membawa kepada munculnya peradaban agung Islam sehingga abad ke-20 M. Gesaan al-Quran untuk menuntut ilmu telah menjadi perangsang kepada para sahabat ketika itu untuk bertebaran ke seluruh dunia bagi meluaskan dakwah Islamiyyah di samping meneroka ilmu-ilmu baru yang sudah ada dalam tinggalan-tinggalan tamadun terdahulu.
Cetusan Peradaban Era Awal Islam
Sejarah peradaban Islam baik dalam kerajaan Umayyah, Abbasiyyah mahupun Uthmnaiyyah memperlihatkan bagaimana kecintaan terhadap ilmu telah melahirkan ramai ilmuwan dalam bidang matematik, perubatan, astronomi, geografi, falsafah dan kemasyarakatan. Kota-kota seperti Baghdad, Damsyik, Kaherah dan Cordoba pernah menjadi pusat kegiatan intelektual. Antara tokoh yang paling jelas hubungannya dengan teknologi moden ialah Muhammad ibn Musa al-Khawarizmi, seorang ahli matematik yang hidup sekitar abad kesembilan. Karyanya mengenai al-jabr wa al-muqabalah membantu membentuk bidang yang kemudiannya dikenali sebagai algebra. Namanya pula menjadi asal kepada perkataan “algorism” dan seterusnya “algorithm” atau algoritma. Karya matematiknya juga memainkan peranan penting dalam penyebaran sistem angka Hindu-Arab ke dunia Islam dan kemudiannya ke Eropah. Al-Khawarizmi tentunya tidak mencipta komputer atau telefon pintar. Namun, tradisi pengiraan secara sistematik yang dikembangkannya menjadi salah satu asas intelektual penting kepada sains komputer. Komputer hanya dapat berfungsi apabila sesuatu persoalan diterjemahkan kepada langkah-langkah pengiraan yang jelas dan teratur.
Bagitu juga dengan Abu Ali al-Hasan ibn al-Haytham, yang terkenal melalui karya besarnya, Kitab al-Manazir atau Book of Optics. Beliau mengkaji cahaya, penglihatan, pembiasan, pantulan dan cara mata manusia melihat sesuatu objek. Beliau menolak pandangan bahawa mata mengeluarkan sinar ke arah objek dan menerangkan bahawa penglihatan berlaku apabila cahaya daripada objek memasuki mata. Penyelidikannya menggabungkan matematik, fizik, pemerhatian dan pengujian secara terkawal. Ibn al-Haytham turut memberikan penerangan mengenai prinsip camera obscura, iaitu keadaan apabila cahaya memasuki sebuah ruang gelap melalui lubang kecil lalu menghasilkan imej pada permukaan yang bertentangan. Prinsip ini tidak sama dengan kamera digital pada hari ini, tetapi menjadi salah satu tahap penting dalam sejarah perkembangan teknologi kamera. Di sisi yang lain, ilmu-ilmu yang diteroka dan dikaji oleh para ulama terdahulu tidak dilihat sebagai sesuatu yang terpisah daripada agama. Malah ketika mereka mengkaji manusia, alam dan kehidupan, ia dianggap sebagai sebahagian daripada usaha memahami kebesaran Allah SWT bukanlah sesuatu yang hanya dibanggakan sehingga menjauhkan manusia daripada hakikat ketuhanan.
Peradaban Bukan Sekadar Mengimbau Masa Lampau
Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh berpuas hati dengan sekadar mengenang kegemilangan masa lampau. Peradaban bukan barang pusaka yang akan terus hidup hanya kerana sering dibanggakan. Ia perlu dibina dan diperbaharui. Kita mungkin mengagumi al-Khawarizmi, Ibn Sina, al-Biruni dan Ibn Khaldun, tetapi persoalan yang lebih penting ialah siapakah ilmuwan, penyelidik dan pencipta yang sedang kita lahirkan pada hari ini? Namun dalam konteks semasa pula, pendidikan tidak sepatutnya hanya melahirkan manusia yang pandai menghafal, mengejar sijil atau mendapatkan pekerjaan. Pendidikan perlu menghasilkan manusia yang berfikir, berani bertanya, mampu menilai kebenaran dan bersedia menyelesaikan masalah masyarakat.
Nostalgia terhadap sejarah boleh menjadi sumber inspirasi, tetapi ia juga boleh menjadi perangkap. Kita mungkin terlalu sibuk mengatakan bahawa umat Islam pernah menguasai ilmu sehingga terlupa membina budaya membaca dan menyelidik. Kita memuji perpustakaan besar pada masa lalu, tetapi kurang menghargai guru, penulis dan penyelidik pada masa kini. Kita juga berbangga dengan teknologi yang pernah dibangunkan oleh umat terdahulu, tetapi masih selesa menjadi pengguna teknologi yang dicipta oleh orang lain. Dalam konteks masa kini, pembinaan peradaban Islam memerlukan perubahan daripada sikap pengguna kepada sikap penghasil. Umat Islam perlu bergerak daripada pengguna ilmu kepada penghasil ilmu, daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi dan daripada pengulas masalah kepada penyelesai masalah. Masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada individu yang baik, tetapi perlu membina institusi yang menjadikan kebaikan mampu bertahan merentas generasi.
Dalam bidang ekonomi pula, nilai Islam perlu diterjemahkan kepada sistem yang adil. Perbahasan tentang ekonomi Islam tidak sepatutnya berhenti pada persoalan halal dan haram dalam transaksi. Ia juga perlu membincangkan kemiskinan, peluang pekerjaan, gaji yang munasabah, monopoli, rasuah dan jurang kekayaan. Sebuah negara tidak boleh dianggap benar-benar maju jika kekayaan hanya terkumpul pada kelompok kecil, sedangkan ramai rakyat masih bergelut memenuhi keperluan asas. Adapun dalam bidang politik, Islam meletakkan kekuasaan sebagai amanah, bukannya keistimewaan. Pemimpin perlu bersedia ditegur, dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan. Amanah, syura dan keadilan tidak boleh tinggal sebagai slogan. Nilai-nilai itu mesti hadir dalam bentuk pentadbiran yang telus, perlindungan hak rakyat dan kesediaan mendahulukan kepentingan umum.
Hubungan Manusia dan Alam
Pembinaan peradaban juga melibatkan hubungan manusia dengan alam. Manusia diberikan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi, bukan merosakkannya. Pembangunan yang memusnahkan sungai, hutan dan udara bukanlah kemajuan yang sempurna. Generasi akan datang mempunyai hak untuk mewarisi alam yang masih selamat didiami. Oleh sebab itu, setiap kemajuan teknologi dan ekonomi perlu dinilai melalui kesannya terhadap manusia dan alam sekitar.
Keimanan dalam Islam tidak bererti bahawa seseorang atau masyarakat akan sentiasa memperoleh kejayaan material tanpa ujian. Para nabi sendiri melalui kesusahan, penolakan dan tentangan. Kejayaan yang dijanjikan kepada orang beriman perlu difahami secara lebih luas. Ia merangkumi keredaan Allah SWT, keteguhan jiwa, kehidupan yang adil, keberkatan dan keselamatan daripada kerosakan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Akhirnya, Islam dan pembinaan peradaban manusia tidak boleh dipisahkan. Islam memberikan arah kepada kemajuan dan mengingatkan manusia tentang tujuan di sebalik segala pencapaian. Sebuah peradaban tidak menjadi agung hanya kerana bangunannya tinggi, teknologinya canggih atau ekonominya besar. Peradaban menjadi agung apabila kemajuan tersebut melahirkan keadilan, memelihara maruah manusia dan membawa manfaat kepada kehidupan.
Penutup
Peradaban Islam bermula apabila iman bergerak melalui pemikiran, diterjemahkan dengan pekerjaan dan dibina dengan institusi. Ia lahir apabila struktur masyarakat saling berganding bahu membangun peradaban berteraskan nilai, akhlak ataupun adab yang baik. Umpamanya guru mendidik dengan amanah, ilmuwan menghasilkan pengetahuan, peniaga berniaga dengan jujur, pemimpin memerintah dengan adil dan pemimpin masyarakat melindungi golongan yang lemah. Pada saat itulah Islam tidak lagi tinggal sebagai simbol atau slogan, tetapi menjadi tenaga yang membina manusia dan memakmurkan dunia. Dengan modal itu juga, Islam menguasai dunia lebih 14 abad lamanya. Membangunnya kembali memerlukan jiwa transitif setiap di antara kita, membugarkan kembali peradaban dengan nilai Islami


Komentar